September 22, 2024

Bekas Pemain Terengganu Kembali Dengan Misi Berbeza

Pemain tengah Kemboja, Thierry Bin kembali ke pasukan lamanya, Terengganu dengan misi berbeza.

Ini kerana pemain tengah berusia 33 tahun itu mengetuai cabaran juara Cambodian Premier League (CPL), Preah Khan Reach Svay Rieng untuk aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup.

Bin bukan asing dengan saingan Liga Super kerana pernah mewakili skuad Peteh (2018-2019) dan Perak FC (2020). Kelibatnya di bahagian tengah ditagih jurulatih Terengganu ketika itu, Irfan Bakti Abu Salim.

Bin merekodkan 35 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama Peteh dalam dua musim berkenaan. Kelibatnya sebagai jeneral tengah membantu Terengganu meraih kedudukan kelima pada 2018 dan ketujuh (2019).

Bin kemudiannya menyertai Perak sebelum kembali berkelana ke negara asalnya, Kemboja pada 2021. Beliau menyertai Visakha selama dua musim sebelum menyertai Svay Rieng pada tahun 2023.

Meskipun kini bersama Svay Rieng, rasa sayang Bin terhadap Peteh terus berbekas sehingga hari ini. Ini dibuktikan menerusi satu hantaran terbarunya di Facebook.

“Tuan-tuan dan puan-puan, bertolak ke Terengganu,” katanya. Sebaik hantaran tersebut disiarkan di platform berkenaan, ramai penyokong Terengganu merasa teruja kerana Bin tidak pernah lupa tempohnya bersama pasukan itu.

Salah seorang daripadanya ialah Ahmad Shahril menerusi komen ini, “Kita Hitam Putih, Bin.” Bin kemudiannya membalas dengan jawapan ini, “Kita berdarah Hitam Putih.”

Seorang lagi penyokong bernama Amir Che Yaakob pula mengalu-alukan kepulangan Bin ke Terengganu dan mengucapkan selamat berjaya untuk aksi Terengganu-Svay Rieng.

“Selamat kembali ke Terengganu dan selamat berjaya untuk perlawanan seterusnya,” katanya di ruang komen.

Terengganu merupakan salah satu wakil Malaysia ke Shopee Cup 2024/25 selepas layak selaku finalis Piala Malaysia 2023. Satu lagi wakil negara dalam kejohanan ini ialah KL City FC selaku finalis Piala FA 2023.

Terengganu bakal berentap dengan Svay Rieng di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk aksi pertama Kumpulan A pada 21 Ogos ini. Pasukan itu dijangka memanfaatkan pengalaman dalam Piala AFC untuk tampil cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *